Biografi Kumpulan Headwind
Awalnya bermain di kelab-kelab malam di seluruh tanah air. Sebagai sebuah kumpulan yang berbakat dan berkarisma telah menarik minat syarikat rakaman Polygram (Sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang teguh sedikit masa dahulu) untuk menerbitkan album Headwind.Tahun 1983 menyaksikan munculnya album pertama Kumpulan Headwind yang memakai judul 'Headwind'. Banyak lagu yang menarik antaranya Usah Diteruskan, Sekadar Pengertian, Cinta Ke Akhir Masa dan Keindahan Pelangi. Tetapi mungkin kurangnya promosi album itu dipandang sepi. Malah, sebilangan besar peminat Headwind tidak mengetahui wujudnya album ini. Beberapa lama selepas itu, Othman Masri dan Mohamed Rashid menarik diri daripada Headwind atas komitmen masing-masing. Kudin menganggotai Headwind bertindak sebagai pemain Keyboard bagi mengisi kekosongan itu.
Anggota baru Headwind dibarisi oleh
- Zainal Abidin Mohamad - Penyanyi / Trombone
- Zulkifli Kasim (Zulkif) - Gitar Utama / Penyanyi
- Nicky Oii (Ketua) - Gitar Bass / Penyanyi
- Kudin - Keyboard / Penyanyi
- Abdul Razak Salleh - Drums / Percussions.
Tahun 1987, Headwind mengeluarkan album Headwind Bisikkanmu yang menyambung kepopularitian Headwind. Lagu-lagu seperti Bisikkanmu, Berakhir Satu Percintaan dan Kasihku Abadi terkandung di dalamnya. Album Headwind Dalam Ingatan dikeluarkan tahun berikutnya mengandungi lagu-lagu hebat seperti Dalam Ingatan, Cinta Si Camar Putih, Entah Ke Mana Berlari dan Debu Liar. Ini antara album terbaik Headwind dengan lagu-lagu yang baik dan cover album yang menarik (Gambar anggota Headwind waktu kecil+Bangunan lama+Lanca).
Tahun 1989 merupakan tahun cabaran bagi Headwind. Dalam pasaran yang tak menentu, mereka mengeluarkan album Headwind 'Meditasi'. Lagu-lagu menarik terdapat di dalam album itu seperti Biar Saja Berlalu, Sejak Taufan Melanda dan Meditasi. Entah di mana silapnya album ini tidak berjaya dipasaran.
Perselisihan pendapat dalam sesuatu kumpulan memang tidak dapat dielakkan. Zulkif mahukan irama Headwind lebih kepada rock n roll, sebaliknya Zainal Abidin mahu mencuba kepada irama baru 'World Music' yang tak mungkin diperolehi di dalam muzik Headwind. Mungkin ini adalah antara penyebabnya membawa kepada pengunduran Zainal Abidin. Keputusan ini sangat mengejutkan peminat Headwind.
Dua tahun selepas itu, pada tahun 1991 Zainal Abidin muncul dengan album solo pertama berkonsepkan 'World Music'. Beliau sangat berjaya sebagai artis solo berikutan meledaknya album Zainalabidin (yang mengandungi lagu hits Hijau, Ikhlas Tapi Jauh, Insaf dan lain-lain). Sebuah album yang berkualiti dan terbaik pernah dikeluarkan di Malaysia. Zainal Abidin menjadi sebuah nama besar ketika itu jauh meninggalkan kumpulan lamanya Headwind.
Headwind mengeluarkan album koleksi terbaik berjudul 'Headwind 1 - Lagu-Lagu Koleksi' yang mengandungi tiga lagu baru iaitu Cinta Di Dua Dunia, Gadis Jalanan dan Tak Ku Sangka nyanyian Zainal Abidin. Album ini mendapat sambutan baik dan ketiga-tiga lagu tersebut menjadi siulan ramai.
Headwind yang agak terumbang-ambing berikutan ketiadaan penyanyi, cuba mencari penyanyi baru bagi mengantikan Zainal Abidin. Melalui ujibakat selama beberapa bulan mereka menemui Lionel Xavier, seorang penyanyi kelab berpengalaman. Setelah itu, mereka muncul dengan album Headwind 'Kembali' untuk memberitahu peminat kembalinya Headwind dalam dunia seni tanah air. Selain penyanyi baru Lionel, Nicky Ooi, Kudin dan Zulkif turut menyumbangkan suara di dalam album tersebut. Banyak lagu-lagu menarik di dalam album itu, tetapi peminat masih merindukan suara Zainal Abidin. Maka, jadilah album itu sebagai album studio terakhir Headwind. Kegagalan album itu menyebabkan Headwind semakin dilupakan.
Pada Tahun 1990, Headwind mengeluarkan album koleksi terbaik ke dua berjudul 'Headwind 2 - Lagu-Lagu Koleksi' bagi mengimbangi kegagalan album 'Kembali'. Tahun 1992, album koleksi 'Lagu-Lagu Karaoke Headwind' pula diterbitkan. Album 'Headwind Remix' pula diterbitkan pada tahun 1993 yang hanya mengandungi lima lagu hits iaitu Kita Serupa, Hanya Di Radio, Suraya, Debu Liar dan Dalam Ingatan.
Perpecahan secara tidak langsung terjadi. Tahun 1990, Zulkif menarik diri daripada menganggotai Headwind dan menjadi artis gitar solo. Sempat mengeluarkan dua album yang bertajuk Zulkif 'Misteri, Air, Api dan Angin' dan Zulkif 'Imaginasi'. Dua album experimental yang baik daripada Zulkif. Antara lagu yang popular daripada Zulkif ialah Dunia Sama Rasa, instrumental Misteri, Air, Api dan Angin (Lagu kontroversi yang ada persamaan melodi dengan lagu Gary Moore 'Still Got The Blues') dan Suara oh Suara (Penyanyi undangan Ajin-Blackrose).
Penyanyi baru Headwind Lionel pula hilang entah ke mana sejak kegagalan album 'Kembali'. Anggota Headwind yang lain Nicky Ooi, Kudin dan Razak menjadi pemuzik undangan untuk penyanyi lain seperti Ella bersama Hillary Ang (gitarist Search, ex-Cromok). Setelah beberapa tahun, Headwind masih wujud cuma kurangnya publisiti dan ketiadaan album baru menjadikan mereka seakan menghilang dari dunia seni suara. Nicky Ooi mengambil keputusan mengundurkan diri daripada Headwind dan membuka perniagaan sendiri. Razak turut menarik diri, maka tinggallah Kudin meneruskan perjuangan Headwind. Menyedari tanggungjawab itu, Kudin bersama rakan-rakan baru menubuhkan kumpulan yang dinamakan Headwind 3 (Headwind generasi ke-3).
Peminat masih menunggu kemunculan 're-union' Headwind seperti yang diwar-warkan sedikit masa dulu. Menyaksikan gabungan kembali Zainal Abidin, Zulkif, Nicky Ooi, Kudin dan Razak seperti zaman kegemilangan mereka adalah hadiah untuk peminat setia mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan